Tanah jerlus: Selepas lebih 81 jam masih tiada petunjuk positif pencarian mangsa yang jatuh
KUALA LUMPUR – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui sebarang petunjuk positif selepas lebih 81 jam melakukan pelbagai usaha pencarian seorang wanita warga India yang jatuh ke dalam lubang benam di hadapan Masjid India, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, tumpuan SAR kini dilakukan di lurang kumbahan berhampiran Wisma Yakin kerana terdapat serpihan objek batu keras.
Sehubungan itu katanya, operasi di kawasan itu dibuat menggunakan ‘jetter’ (pembersih saluran paip bertekanan tinggi) bagi memecahkan objek keras itu.
“Operasi dijalankan sejak awal pagi tadi secara berperingkat yang kini sudah memasuki operasi keempat dan dijangka berterusan sehingga objek berkenaan dapat dipecahkan.
“Pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menggunakan jetter iaitu penyemburan tekanan air tinggi dalam usaha pemecahan objek keras yang berada di dalam paip pembetungan di lokasi kejadian.
“Setakat ini kita tertumpu di lurang kumbahan berhampiran Wisma Yakin kerana awal pagi tadi, kita menggunakan kamera bergerak di dalam pembetungan di sini dalam jarak empat meter ada serpihan objek batu keras. Pagi tadi kita guna teknik jetting untuk pecahkan serpihan objek. Apabila pecah, air akan turun ke bawah dan kita harap apa saja objek termasuk badan manusia akan melepasi laluan pembetungan itu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.
Katanya, jetter itu mampu menghasilkan tekanan sehingga 200 bar yang membolehkan batu-bata tersangkut akan pecah.
Mengulas lanjut, Sulizmie Affendy berkata, pihaknya turut meggunakan eknologi kamera melalui dua teknik iaitu ‘push rod’ dan ‘crawler’ yang dimasukkan ke dalam setiap lurang kumbahan dapat membantu pengesanan objek.
Menurutnya, kamera itu mampu bergerak pada jarak antara 80 sehingga 100 meter yang dapat merekodkan setiap objek yang berada di dalam lurang kumbahan berkenaan.
Sementara itu, Narendran berkata, pihaknya masih meneruskan ‘flushing’ secara berperingkat di setiap lurang kumbahan dan pencarian di Loji IWK Pantai Dalam.
Beliau berkata, teknik yang dilakukan bermula kelmarin dipantau pegawai di Stesen Pam Pantai Dalam bagi memastikan tiada objek atau serpihan yang tersangkut.

“Kita akan lakukannya sehingga yakin tiada lagi debris,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








