BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Waris tuntut RM800,000 tragedi tanah jerlus Masjid India

Keluarga mangsa tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur bercadang menuntut pampasan kira-kira RM800,000 susulan dakwaan berlaku kecuaian dalam aspek penyelenggaraan serta keselamatan kawasan terbabit.

Peguam mewakili keluarga mangsa, M. Partiben berkata, nilai pampasan itu dirujuk berdasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini dalam kes kanak-kanak maut dihempap pokok yang menyaksikan pampasan diberikan akibat kecuaian penyelenggaraan.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam sesi rundingan bersama pihak berkaitan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dalam masa terdekat.

“Dalam kes ini, kami berhujah wujud unsur kecuaian termasuk gangguan utiliti bawah tanah serta faktor geologi kawasan.

“Namun jumlah RM800,000 itu masih belum dimuktamadkan dan boleh berubah, bergantung kepada hasil rundingan serta penilaian fakta kes,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah sekiranya rundingan pampasan tidak mencapai persetujuan atau dianggap tidak memadai.

Katanya, pihak keluarga berharap pertemuan dapat diadakan dalam tempoh dua minggu sebelum waris, Surya Madhaiha, 27, pulang ke India bagi urusan peribadi dan dokumen rasmi.

“Kami baru menerima sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam. Waris perlu pulang bagi menyelesaikan urusan bank di negara asal,” jelasnya.

Tambah Partiben, keluarga turut menanggung hutang kira-kira RM20,000 melibatkan kos perubatan serta perniagaan kecil yang terhenti selepas kejadian itu.

“Lebih menyedihkan, waris yang terpaksa bekerja sebagai buruh di negaranya turut kehilangan pekerjaan hari ini kerana tidak dapat hadir bekerja bagi menguruskan dokumen rasmi kematian mangsa.

“Selain itu, perlu menanggung bapanya yang mempunyai pelbagai komplikasi kesihatan seperti jantung,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi peguam keluarga mangsa, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi menjelaskan, tuntutan pampasan itu turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk usia, pekerjaan dan tanggungan si mati.

“Waris juga berharap proses rundingan dapat dipercepatkan ekoran menanggung kos tinggi sepanjang hampir dua tahun berulang-alik antara Malaysia dan India bagi menguruskan pelbagai urusan berkaitan tragedi tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button