Dhabitah Sabri belum mahu bersara
SEPANG – Atlet terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri menyatakan masih belum mahu bersara, sebaliknya mahu berehat seketika selepas mengakhiri kempen Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Menurut atlet berusia 25 tahun itu, tempoh berehat tersebut adalah bagi mencari semula semangatnya, lebih-lebih lagi setelah berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum dan semasa kejohanan tersebut.
Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 itu walau bagaimanapun berkata, dia masih mencintai dan mahu menyumbang dalam sukan yang diminatinya itu.
“Saya rasa bagus. Bagus terhadap diri saya. Daripada rasa tidak mahu untuk terjun, kepada berjaya melangkah ke peringkat akhir.
“Saya masih mencintai sukan ini. Saya akan merindui sukan terjun. Masih banyak yang perlu saya sumbangkan dengan menggunakan program, kejurulatihan dan semuanya dengan secara betul,” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Turut tiba sama, penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises.
Terdahulu, Dhabitah mengumpul 244.80 mata dalam peringkat akhir acara 3 meter (m) di Olimpik Paris, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-12.
Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Dhabitah mengakui masih belum membuat apa-apa keputusan.
“Saya tidak pasti lagi. Saya harus fikir mengenai diri saya terlebih dahulu. Saya perlu ‘reset’ (mula semula). Saya belum ada kata putus atau apa-apa lagi,” katanya lagi.