
Pekerja wanita kedai aiskrim cedera dalam kejadian samun
SHAH ALAM – Seorang pekerja wanita sebuah kedai aiskrim di Taman Sri Muda di sini cedera dalam satu kejadian samun, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, mangsa yang berusia 21 tahun cedera ditoreh sebanyak tiga kali menggunakan pisau pemotong kertas.

Katanya, laporan mengenai kejadian diterima daripada abang mangsa berusia 36 tahun.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bekerja seorang diri di kedai sementara menungggu pekerja lain masuk bertugas.
“Suspek merupakan seorang lelaki berbangsa tidak pasti dengan memakai pelitup muka dan bersenjatakan pisau pemotong kertas telah cuba melakukan samun ke atas mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mangsa berjaya menghalang suspek, namun mengalami kecederaan akibat ditoreh.
“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan telah dibenarkan pulang pada 1 pagi tadi,” katanya lagi.
Mohd Iqbal berkata, sehingga kini tiada sebarang kerugian dialami oleh mangsa mahupun syarikat.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup telah berjaya menimbulkan wajah sebenar suspek dan usaha mengesan serta menangkap suspek kini giat dijalankan,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syer Aidid di talian 013-6544996.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














