Anggota polis cedera, dilanggar kereta dipandu penjenayah
KLANG – Seorang anggota polis cedera selepas dilanggar kenderaan dipandu seorang suspek di sebuah stesen minyak di Persiaran Raja Muda Musa di sini ketika hendak membuat tangkapan berkait kes samun semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang selepas anggota polis terserempak sebuah Toyota Vios berwarna putih disyaki terlibat kes samun di Subang Jaya.
Beliau berkata, apabila tangkapan hendak dilakukan, suspek bertindak agresif dengan menolak anggota polis dan melarikan diri menaiki kereta.
“Ketika kejadian, kereta suspek telah melanggar dan hampir menggilis kaki anggota polis terbabit serta melanggar kereta digunakan pasukan polis terbabit sebelum memandu melawan arus masuk ke jalan besar menghala Shah Alam.
“Suspek kemudian telah meninggalkan keretanya di tepi jalan Persiaran Sultan Ibrahim sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, anggota terbabit telah mengalami kecederaan.
Tegasnya, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 12.45 tengah malam Khamis, suspek warga tempatan berusia 33 tahun telah diberkas di sekitar Bandar Bukit Tinggi, Klang.
“Suspek yang mempunyai 20 rekod jenayah dan lima rekod dadah lampau kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut akan diteruskan berkaitan penglibatan jenayah suspek terbabit.
Sebelum itu, tular rakaman video berdurasi 1 minit 17 saat yang dirakamkan orang awam yang berada di lokasi kejadian yang memaparkan kenderaan suspek yang melarikan diri.
Dalam video berkenaan, Toyota Vios putih dipercayai dipandu suspek melarikan diri selepas kejadian itu dan meninggalkan mangsa dalam keadaan terbaring.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






