Berita Semasa

Bangunan dirobohkan sebenarnya struktur haram dibina atas tanah awam

SEGAMBUT – Isu perobohan bangunan yang didakwa digunakan sebagai pusat latihan karate bersebelahan dewan masyarakat di Taman Sri Sinar, dekat sini sebenarnya melibatkan binaan struktur haram di atas tanah awam.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, pihak Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggung jawab terhadap pengurusan dewan awam, sudah mencuba hampir setahun untuk mengambil alih pengurusan kawasan tersebut, namun menerima tentangan.

“Usaha (untuk mengambil alih pengurusan) adalah sebahagian daripada inisiatif di Kuala Lumpur untuk memastikan dewan awam boleh di akses oleh semua penduduk dan bukannya dimonopoli oleh mana-mana pihak,” kata Hannah dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Jelas Hannah, pihak DBKL dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah persekutuan (PPTGWP) telah turut menghantar notis pengosongan, namun operator bangunan tersebut tidak mengendahkannya, sebaliknya memulakan kerja baharu untuk membina struktur haram.

Berikutan itu, pihak DBKL dan PTGWP memulakan proses perobohan struktur tersebut, siang tadi.

Kata Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan, isu ini tidak melibatkan bangsa atau sukan, tetapi untuk membanteras binaan struktur haram di atas tanah awam.

“Saya dimaklumkan, PPTGWP kini telah memberikan tempoh selama 30 hari kepada operator bangunan tersebut untuk memindahkan barangan milik mereka,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button