Berita Semasa

AYIMUN himpun 500 delegasi dari 28 negara

KUALA LUMPUR – Program Asia Youth International Model United Nations ke-14 (AYIMUN) yang berlangsung selama empat hari di sini baru-baru ini memperkenalkan konsep persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations (UN).

Presiden International Global Network (IGN), Muhammad Fahrizal berkata, penganjuran AYIMUN kali ke-14 itu disertai oleh 500 orang delegasi dari 28 negara.

Presiden International Global Network (IGN), Muhammad Fahrizal

“AYIMUN adalah platform terbaik bagi anak muda untuk memberi pendedahan sebenar, bertukar fikiran menyelesaikan isu-isu global dan mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran era globalisasi,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

IGN sebagai penganjur program itu berjaya mengalas cabaran dalam melatih kemahiran insaniah, pemikiran kritis, dan kemahiran komunikasi.

Fahrizal berkata, pada sesi itu delegasi diberi peluang mengemukakan pendapat tentang cara menyelesaikan masalah dunia mengikut delegasi yang mereka wakili, seperti Majlis Kesihatan Dunia (WHO) dan UNESCO.

“Mereka akan berdebat dan mencari resolusi terbaik untuk setiap masalah yang dibincangkan.

“AYIMUN kali ini membawa tema “Accelerating Global Cooperation: Collaborations Beyond Borders” yang menekankan kepentingan kerjasama global melangkaui sempadan untuk mendorong pembangunan dan inovasi,” katanya lagi.

Tambah Fahrizal, Malaysia selaku tuan rumah AYIMUN memberikan kerjasama luar biasa dengan penglibatan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan Tinggi dan MyCEB.

“Kira-kira 50 pelajar dari pelbagai universiti di Malaysia terlibat. Mereka menerima sokongan dari Kementerian Pendidikan Malaysia, termasuk sokongan kewangan untuk mengikuti program ini,” katanya lagi.

IGN merupakan organisasi yang terlibat dalam program pembangunan belia dan ditubuhkan untuk mengumpulkan belia dari seluruh dunia dan bekerjasama dalam bidang perniagaan, budaya dan pergerakan sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button