Kos meningkat sebab Tourism Malaysia tidak sertai World Travel Market di London
KUALA LUMPUR – Langkah Tourism Malaysia untuk tidak mengambil bahagian dalam World Travel Market (WTM) yang akan diadakan di London, United Kingdom (UK) pada hujung tahun ini berikutan kos pameran yang semakin meningkat.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), agensi itu telah menyertai WTM lebih 40 tahun berturut-turut dan kos untuk menyertai pameran pelancongan ini semakin meningkat saban tahun.
“Dengan mengambilkira kadar tukaran wang asing semasa, penyertaan di WTM London akan melibatkan perbelanjaan yang besar dengan penurunan kadar tukaran wang semasa.
“Penyertaan Tourism Malaysia di WTM adalah salah satu aktiviti promosi yang dijalankan saban tahun dan ini adalah merupakan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia kepada penggiat-penggiat industri bagi pasaran jarak jauh,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kementerian itu menjawab soalan dibangkitkan Ahli Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya mengenai faktor Malaysia tidak mengambil bahagian dalam WTM yang diadakan di London pada hujung tahun ini memandangkan ia platform baik untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam pada itu katanya, Tourism Malaysia akan mengambil pendekatan yang lebih kos efektif dengan mengadakan misi jualan bersepadu ke beberapa negara di Eropah pada tahun ini untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, antara negara tersebut seperti UK, Perancis dan Belanda.
“Misi jualan ini akan disertai oleh pengusaha pelancongan dari Malaysia dan sesi business matching serta networking bersama agensi- agensi pelancongan utama di negara-negara tersebut akan dijalankan di samping aktiviti promosi makanan dan kebudayaan Malaysia kepada orang awam.
“Fokus pasaran juga akan digiatkan kepada negara-negara yang mempunyai lebih rangkaian kemudahsampaian berbanding pasaran- pasaran jarak jauh tetapi tidak bermaksud aktiviti di pasaran tersebut dihentikan sama sekali,” ujarnya.