Politik

Radzi Jidin gesa kerajaan sediakan peruntukan RM2.5 bilion

Bagi selenggara kuarters kerajaan, naikkan elaun COLA RM100

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyediakan peruntukan khas penyelenggaraan kuarters kerajaan persekutuan di seluruh negara sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 bilion.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu merupakan satu keperluan mendesak memandangkan lebih banyak kerosakan bakal berlaku sekiranya tiada usaha baik pulih dilakukan terutamanya di kediaman yang tidak berpenghuni.

“Sebagai contoh, ada rumah yang telah lama kosong tetapi tidak dapat diduduki oleh penghuni baru sebab tidak dibaiki lagi. Apa yang dikhuatiri, jika keadaan ini dibiarkan berlarutan terlalu lama, keadaan akan semakin teruk dan kos untuk membaik pulih akan menjadi lebih tinggi yang mana memberi implikasi kewangan yang lebih besar kepada kerajaan.

“Bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penjawat awam yang menduduki kuarters, saya ingin usulkan supaya kerajaan sediakan peruntukan khas penyelenggaraan kuarters kerajaan persekutua di seluruh negara sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 bilion setahun untuk tempoh 2023 hingga 2025 sepertimana dalam tawaran Perikatan Nasional bagi PRU15,” katanya ketika Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut Radzi turut mempersoalkan peruntukan melibatkan komponen penyelenggaraan yang telah berkurangan lebih RM19 juta berbanding tahun lalu walaupun terdapat peningkatan bagi Belanja Pembangunan melibatkan Pengurusan Kuarters Kerajaan/Rumah Rasmi.

Dalam pada itu, katanya, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan yang menarik, kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam perlu sentiasa dalam keadaan baik untuk keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan penduduk dan juga pelancong.

Sehubungan itu, katanya, penyediaan kemudahan itu perlu turut memberi keutamaan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Ini mengambil kira keperluan semasa dan masa hadapan ke arah negara menua (ageing nation). Oleh itu, saya minta supaya kerajaan khususnya Perbadanan Putrajaya menyediakan lebih banyak kemudajan infrasktruktur yang mesra warga emas dan OKU dengan kemudahan bersesuian termasuk untuk mereka beriadah dan bersukan.

“Selain itu, kerajaan hendaklah memberi perhatian dalam usaha memodenkan perpustakaan awam seiring perkembangan teknologi digital, meliputi bidang robotik, coding dan dan AI. Pendekatan ini dapat memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar sekolah dan mahasiswa, anak-anak di Putrajaya,” ujarnya.

Sementara itu, Radzi turut menggesa kerajaan menaikkan elaun sara hidup atau COLA untuk membantu menampung kos sara hidup bagi penjawat awam.

“Dalam Belanjawan 2023, COLA masih pada kadar yang sama. Jadi, saya cadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan kenaikkan kadar COLA penjawat awam sebanyak RM 100 dan akan diseleraskan secara berkala bagi meringankan beban kos sara hidup penjawat awam, khususnya mereka yang tinggal di kawasan kos sara hidup yang tinggi seperti di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button