Jual kelengkapan komunikasi tidak diperakui: 138 unit walkie-talkie dirampas
CYBERJAYA – Sebanyak 138 unit walkie-talkie bernilai lebih RM20,000 telah dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke atas tiga premis di Jalan Pasar, Pudu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut MCMC, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati, ketiga-tiga premis berkenaan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
“Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui adalah
satu kesalahan di bawah Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, operasi melibatkan sepuluh pegawai MCMC merupakan strategi berterusan oleh agensi itu bagi memastikan para peniaga alat komunikasi mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menjual alatan tidak diperakui kepada pengguna.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.
“Penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan
kualiti perkhidmatan yang diterima daripada penyedia perkhidmatan komunikasi selain menyebabkan gangguan frekuensi kepada rangkaian perkhidmatan komunikasi, yang akhirnya mengundang masalah kepada
pengguna lain.
“Selain itu, kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menyebabkan kerugian kepada pengguna jika tidak berfungsi dengan baik kerana tidak mempunyai jaminan pelanggan.
“Dalam masa yang sama, peranti yang
tidak diperakui juga boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan,” ujarnya.
Katanya, berkuat kuasa 1 Jun 2015, setiap peralatan komunikasi di Malaysia wajib dilengkapi dengan label MCMC sebagai tanda pemerakuan wajib bagi mengesahkan peralatan komunikasi telah diperakukan dan mematuhi piawaian.
Sehubungan itu, katanya, irang ramai dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi ‘MCMC Check Your Label’ yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store untuk menyemak status pemerakuan setiap kelengkapan komunikasi sebelum membeli.