Remaja perempuan OKU dicabul pengawal keselamatan
NILAI – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa dicabul oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri dekat sini pada jam 4 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa sedang berbual dengan rakannya di hadapan lif pangsapuri terbabit.
“Mangsa yang ketika itu sedang berbual dengan rakannya telah didatangi seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan di situ.
“Lelaki tersebut telah menyuruh rakan mangsa pulang ke rumah dan kemudian mahu menghantar mangsa pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, ketika dalam perjalanan ke rumah mangsa, suspek telah memegang beberapa bahagian tubuh badan mangsa serta meminta mangsa untuk mencium pipinya.
Ujarnya, mangsa yang ketakutan kemudiannya telah lari pulang ke rumah sebelum ke Balai Polis Nilai membuat laporan berhubung kejadian yang berlaku.
Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Nilai, Inspektor Ahmad Kamil Rusli bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu membuatkan anaknya yang merupakan orang kurang upaya(OKU) berdepan trauma.
Sehubungan itu katanya, dia berharap suspek dapat ditahan segera dan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Saya tahu pun selepas anak sulung beritahu yang adiknya dicabul. Kedua-dua anak saya memang tinggal di situ dan anak saya masih terkejut dengan kejadian itu,” katanya, lapor Sinar Harian.