BERITA SEMASA

Kerajaan pertimbang tambang percuma pengangkutan awam untuk OKU

PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan sedang mempertimbangkan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menyediakan pengangkutan awam percuma bagi Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Pengangkutan, Anthoony Loke berkata, usaha ke arah penambahbaikan sistem pengangkutan untuk golongan OKU khususnya perkhidmatan tren seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) kini dalam perhatian kerajaan.

Beliau berkata, usaha itu bertepatan dengan agenda kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan di negara ini.

“Itu memang dalam perhatian kita dan sesuatu yang boleh kita laksanakan iaitu mengecualikan bayaran kepada OKU.

“Namun setiap perkara yang diaksanakan kerajaan pastinya ada implikasi kewangan sebelum kita membuat keputusan dan pengumuman,” katanya.

Anthony ditemui pada Majlis Amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anthony berkata, selain tambang percuma, perkara yang lebih penting untuk diberi perhatian pada ketika ini adalah menambahbaik akses kepada pengangkutan awam supaya lebih mesra OKU.

“Elevator (tangga bergerak) kena bergerak, lif kena bergerak. Kalau tidak bagaimana OKU nak naik ke stesen. Itu memang dalam perhatian kita dan penambahbaikan akan berterusan,” katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan warga OKU bakal menikmati kemudahan tambang pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan bas henti-henti secara percuma.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button