Berita SemasaPM X

Anwar umum peruntukan RM500,000 bangunkan pusat kecemerlangan sosial

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membangunkan sebuah pusat kecemerlangan sosial penyelidikan wanita, keluarga dan kanak-kanak.

Katanya, pusat tersebut akan dibangunkan di bawah institut penyelidikan sedia ada bagi membantu mengatasi cabaran sosial yang baharu.

“Wujudnya sekarang ini keperluan membangunkan dan menjadikan institut sosial lebih berperanan sebab ada cabaran baru yang memerlukan penyelidikan dan penelitian.

“Untuk itu saya setuju untuk mewujudkan pusat kecemerlangan ini di bawah institut sedia ada untuk membolehkan beberapa usaha penyelidikan ditambah dan untuk ini ia akan dimulakan dengan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk memulakan penyelidikan.

“Saya ingin tengok berapa jauh dan berapa baik penyelidikan yang dibuat. Terdapat cabang baharu yang boleh dilakukan kajian berkaitan dengan wanita, keluarga dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Dewan Perdana Felda, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Seri, Nancy Shukri.

Tambahnya lagi, pusat kecemerlangan itu juga akan bekerjasama dengan institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam merancang dan melakukan penyelidikan.

“Oleh sebab itu, saya meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 ini dan sekiranya penyelidikan yang dilakukan itu membuahkan hasil dan berguna kita akan tambah lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar juga berkata, gagasan keluarga MADANI yang dibina juga tidak akan terhasil tanpa peranan wanita dalam mengurus dan menguatkan tali kekeluargaan itu.

“Ada ruang yang boleh diperbaiki, pengiktirafan tidak cukup dan masih ada gangguan seksual masih ada bukan diskriminasi, tapi kurang pengiktirafan sehingga wanita mengeluh kepintaran, kecekalan mereka tidak diiktiraf.

“Oleh sebab itu kita harus sentiasa idea dan pemikiran baharu. Dari segi sejarah masyarakat Islam, peranan wanita itu sangat penting.

“Kita gagaskan MADANI yang tidak akan muncul tanpa kekuatan keluarga dan kekuatan keluarga MADANI ini tidak mungkin terbina, terurus tanpa peranan wanita,” katanya dalam ucapan beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button