BERITA SEMASA

City University Malaysia lakar sejarah lahirkan 123 Doktor Falsafah (PhD)

KUALA LUMPUR – City University Malaysia (CityU) telah melakar sejarah tersendiri dengan melahirkan 123 graduan Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen CityU 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Pengarah Urusan yang juga merupakan pengasas CityU, Datin Rohaidah Shaari memaklumkan seramai 1,165 pelajar program pascasiswazah telah dilahirkan dalam majlis konvokesyen tahun ini.

“Ini merupakan pencapaian terbesar CityU semenjak ia ditubuhkan pada 1984 apabila Pusat Pengajian Siswazah (CGS) berjaya melahirkan jumlah graduan pascasiswazah seramai ini dan ia merupakan penanda aras baharu kecemerlangan pendidikan secara keseluruhan.

Jelas beliau, graduan-graduan ini terdiri daripada 65 orang pelajar Doktor Falsafah Pendidikan, 33 orang pelajar Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan dan 18 orang pelajar Doktor Falsafah Rekabentuk, 4 orang Doktor Falsafah Teknologi Maklumat, dan 3 orang Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan. Majlis ini turut meraikan 1,042 graduan Sarjana.

“CityU juga menganugerahkan 30 Anugerah Dekan kepada graduan cemerlang pada majlis ini. Kita juga berbangga apabila graduan-graduan yang kita lahirkan terdiri daripada 30 buah negara antarabangsa antaranya Perancis, Rusia, Saudi Arabia dan China” kongsi Datin Rohaidah.

CityU melahirkan 123 graduan Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen CityU 2023.

Mengulas lanjut, Datin Rohaidah berkata, CityU sangat komited dalam melahirkan graduan yang berkualiti seiring dengan kedudukan kebolehpasaran graduan CityU di pasaran Malaysia.

“Berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 (SKPG 2), CityU telah mencapai kadar kebolehpasaran graduan yang luar biasa sebanyak 99 peratus, menjadikan CityU antara institusi terkemuka di negara ini.

“Kadar kebolehpasaran yang tinggi bukan sahaja mampu menjamin kualiti pendidikan di CityU, malah ia turut memenuhi permintaan majikan di pasaran industri kini,” katanya.

Sementara itu, CityU turut berkongsi keterujaan pembukaan kampus baharu di Cyberjaya yang akan mula beroperasi dalam masa terdekat.

Kampus baharu yang dilengkapi dengan fasiliti berteknologi tinggi ini semestinya dapat memberikan keselesaan kepada para pelajar sekaligus mampu menjadikan CityU antara institusi pendidikan terbaik di rantau Asia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button