Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kes bunuh Nur Farah Kartini: Operasi cari bahan bukti diteruskan di lokasi kedua di Perak

HULU SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyambung operasi pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah di sebuah lagi kawasan di Perak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lokasi kedua itu terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam.

Jelas beliau, operasi di lokasi berkenaan bagi mencari bahan bukti dipercayai barang peribadi milik mangsa.

“Pagi tadi saya sahkan polis berjaya menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa bagi membantu siasatan.

“Proses pencarian akan diteruskan sehingga pasukan penyiasat berpuas hati dengan bahan bukti yang ditemukan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi utama kejadian, di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah telefon pintar telah dijumpai anggota Unit Sub Akuatik Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada pukul 12.21 tengah hari.

Pada masa sama, polis turut membawa suspek berusia 26 tahun ke lokasi kejadian untuk proses pengecaman telefon pintar milik Nur Farah Kartini.

Kelmarin, Nur Farah Kartini ditemukan mati di kawasan selepas dilaporkan hilang semasa menghantar kereta sewa kepada pelanggan pada 10 Julai lalu.

Mayat mangsa ditemui di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, kira-kira 6 petang dipercayai akibat dibunuh individu dikenali mangsa.

Susulan itu, polis menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan

Polis kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman selama tujuh hari hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button