Olimpik Paris : Atlet pertama raih emas terima habuan RM1 juta
KUALA LUMPUR – Atlet negara yang berjaya meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2024 (Olimpik Paris) akan menerima hadiah tajaan berupa sebuah pangsapuri servis bernilai RM1 juta.
Menteri Beliau dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) telah menerima dua tajaan hadiah dari sektor korporat yang bertujuan menyuntik semangat atlet negara agar memberikan aksi terbaik pada temasya sukan terbesar itu.
Katanya, satu lagi hadiah tajaan berupa wang tunai RM1 juta ditawarkan kepada atlet di bawah Program Bakat Badminton SS (2012-2016) iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik & Chen Tang Jie.
“Hadiah pertama berupa sebuah pangsapuri servis di Setia Alam ditaja oleh Pengerusi Top Glove dan pemilik Top Residency, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai.
“Manakala hadiah tajaan kedua berupa wang tunai RM1 juta ditaja oleh Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua penaja peribadi hadiah tersebut iaitu Wee Chai dan Kim Heng.
“KBS mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta dan korporat untuk tampil ke hadapan dalam usaha sama memajukan lagi industri sukan negara,” katanya.
Wee Chai berkata, insentif itu diharap menjadi pemangkin kepada para atlet untuk mencapai kejayaan yang belum pernah dicapai sebelum ini.
“Inisiatif ini bukan sekadar ganjaran ‘material’, tetapi juga simbol sokongan korporat terhadap kecemerlangan sukan negara. Kami ingin menggalakkan masyarakat untuk menghargai gaya hidup aktif dan sihat, serta memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat untuk memberi impak positif kepada komuniti mereka,” katanya.
Sementara itu, Kim Heng berkata, hadiah RM1 juta itu layak dimenangi oleh atlet perseorangan atau dibahagi sama banyak jika dimenangi lebih daripada seorang pemenang.
“”Saya sangat teruja untuk mengumumkan ikrar peribadi sebanyak RM1,000,000 wang tunai kepada pemain badminton Malaysia pertama dari Program Bakat Badminton SS untuk mencapai pingat emas di Sukan Olimpik Paris,” katanya.