PM X

PM seru umat Islam hayati semangat hijrah Nabi Muhammad SAW

PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini diseru untuk menghayati semangat penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah dalam usaha membebaskan diri daripada budaya syirik, zalim, penindasan dan kejahilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menegaskan semangat Hijrah Rasulullah SAW adalah berorientasikan gerakan, dinamik dan mahukan perubahan.

“Hijrah memerlukan persiapan kental dan ampuh. Melalui persediaan yang kukuh ianya boleh terpancar melalui pembaharuan yang membekas buat umat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Ilmu Madani bersama Tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M di Kompleks Seri Perdana di sini malam semalam.

Dua tokoh berkenaan ialah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Datuk Seri Hassan Ahmad dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa Prof Dr Ali Muhyiddin atau lebih dikenali sebagai Sheikh Ali Al-Qaradaghi.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada bekas Mufti Pulau Pinang dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu.

Anwar berkata, Hassan Ahmad dalam tausiahnya memberi peringatan al-Quran dan hadis dalam mencapai al-Falah iaitu kemenangan yang memacu cita-cita Malaysia Madani, manakala Prof. Dr. Ali pula telah mengambil ibrah konsep negara Madani melalui tauladan Rasulullah SAW yang memimpin Madinah.

“Saya doakan kedua tokoh ini diberikan kesihatan dan kekuatan menyumbang kepada pencerahan ilmu dan pembangunan dakwah. Semoga butiran hikmah yang dikongsikan oleh kedua ulama ini dapat dimanfaatkan oleh kıta semua,” ujarnya lagi dalam kenyataan tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button