Berita Semasa

Fahmi Fadzil kongsi pengalaman hampir kena scam

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkongsi pengalamannya nyaris menjadi mangsa ‘scammer’ apabila dihubungi individu yang mengaku sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, kiriman mesej melalui aplikasi WhatApp tersebut menggunakan gambar profil Nancy namun mencurigakan apabila mempunyai kesilapan ejaan perkataan ‘Assalamualaikum’.

“Lepas Subuh pagi tadi saya ada terima mesej WhatsApp guna gambar profil dan nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

“Mesej itu berbunyi ‘Assalamalaikum’. Sungguh pelik ejaan itu, saya terus hubungi Nancy untuk mengesahkan perkara itu dan ternyata itu adalah scammer kerana nombor telefon itu juga bukan milik Nancy,” katanya.

Bagaimanapun Fahmi berkata, selepas menghubungi sahabatnya itu di talian yang sebenar, beliau dimaklumkan oleh bahawa Nancy tidak pernah menggunakan nombor berkenaan.

“Datuk Seri Nancy cepat-cepat hubungi saya dan beliau kata, YB Fahmi this is not my number (ini bukan nombor saya) dan ia bukan saya. Saya tidak menggunakan perkataan (Assalama’alaikum) seperti itu, saya selalu cakap ‘Salam’,” katanya selepas Majlis Apresiasi Pengamal Media di Hilton Kuala Lumpur, malam ini.

Terdahulu, Fahmi menyantuni kira-kira 400 pengamal media dan memberi sumbangan kepada kumpulan wartawan veteran.

Pada masa yang sama Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap sebarang panggilan yang mencurigakan dan membuat pengesahan sebelum menjadi mangsa.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan secara online menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di nombor 997 untuk mendapatkan bantuan.

“Sempena musim perayaan ini, memang ramai yang akan keluarkan duit untuk berbelanja. Tolong berhati-hati dalam berkongsi maklumat. Kalau tak pasti jangan kongsi, kalau tak kenal jangan sambungkan perbualan. Jika ada di antara kita jadi mangsa, tolong segera hubungi 997,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button