Berita Semasa

Portal MyInvois kini boleh diakses

PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan portal MyInvois kini boleh diakses bagi tujuan pengeluaran dan penghantaran e-Invois.

Menurut LHDN, ketersediaan portal MyInvois itu membuktikan komitmen pihaknya dalam memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar terutamanya dalam kalangan pembayar cukai Fasa 1 yang akan menggunakan e-Invois secara mandatori mulai 1 Ogos ini.

“Menerusi perkembangan terbaharu ini, pembayar cukai boleh mengemukakan e-Invois kepada LHDN melalui dua kaedah.

“Kaedah berkenaan iaitu melalui Integrasi Application Programming Interface (API) (bagi syarikat yang mempunyai sistem perisian sendiri) dan portal MyInvois yang boleh diakses secara percuma di https://mytax.hasil.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, LHDN berkata portal tersebut menyediakan dua fungsi utama kepada para pengguna.

Fungsi tersebut adalah pengurusan profil bagi pengguna, pembayar cukai (syarikat), wakil, sistem ERP serta perantara dan pengurusan dokumen merangkumi pengemukaan, semakan, penolakan, pembatalan dan cetakan dokumen.

“Sebagai maklumat tambahan, garis panduan umum e-Invois (Versi 3.0) dan garis panduan spesifik e-Invois (Versi 2.2) telah dimuat naik di laman Mikro e-Invois di portal LHDN menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button