BERITA SEMASA

Elak penalti: LHDN seru pembayar cukai guna e-Filing sebelum 15 Julai

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyeru semua pembayar cukai agar mengemukakan Borang Nyata (BN) mereka secara dalam talian melalui platform e-Filing sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada 15 Julai.

Dalam satu kenyataan media hari ini, LHDN berkata, tindakan itu bertujuan mengelakkan sebarang penalti, kenaikan cukai atau tindakan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pembayar cukai juga diingatkan agar memastikan semua maklumat peribadi serta butiran akaun bank dikemas kini dan lengkap semasa proses pengemukaan BN. Langkah ini penting bagi memastikan kelancaran proses bayaran balik cukai, sekiranya berkenaan,” kata kenyataan itu.

Antara kategori pembayar cukai yang terlibat ialah e-B iaitu individu pemastautin yang menjalankan perniagaan; e-BT (Individu Pemastautin termasuk pekerja berpengetahuan/berkepakaran/bukan warganegara memegang jawatan utama); e-M (individu bukan pemastautin) dan e-MT (individu bukan pemastautin iaitu pekerja berpengetahuan).

Selain itu, terdapat juga kategori e-P (perkongsian); e-TF (pertubuhan); e-TP (harta pusaka) dan e-TJ (keluarga sekutu Hindu).

Pengemukaan BN secara e-Filing boleh dilakukan melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau menerusi portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my melalui laluan: MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.

Sebagai panduan tambahan, pembayar cukai juga boleh merujuk dan memuat turun borang-borang berkaitan melalui pautan https://www.hasil.gov.my/borang/muat-turun-borang/.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklum balas, orang ramai boleh menghubungi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000/03-8911 1000 (untuk luar negara) dan HASiL Live Chat.

Pengguna juga boleh mengisi borang maklum balas melalui pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

LHDN juga menegaskan pematuhan terhadap tanggungjawab percukaian bukan sahaja kewajipan undang-undang, malah mencerminkan komitmen rakyat terhadap pembangunan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button