LUAR NEGARA

Rakyat Iran mula mengundi pilih presiden baharu

TEHRAN – Rakyat Iran mula mengundi hari ini bagi memilih presiden baharu susulan kematian Presiden Ebrahim Raisi yang terbabit dalam nahas helikopter, bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri, Ahmad Vahidi menerusi ucapan disiarkan di televisyen mengumumkan proses pengundian bagi pilihan raya presiden ke-14, dimulakan.

Proses pengundian di 58,640 pusat mengundi di seluruh negara yang kebanyakannya di sekolah dan masjid, bermula seawal pukul 8 pagi (waktu tempatan).

Pusat mengundi akan dibuka selama 10 jam, walaupun pihak berkuasa boleh memanjangkan tempoh mengundi seperti pada pilihan raya terdahulu.

Keputusan awal dijangka dikeluarkan esok pagi, diikuti keputusan rasmi pada hari Ahad.

Bagaimanapun, pilihan raya akan memasuki pusingan kedua jika tiada calon berjaya meraih 50 peratus undi dengan kemungkinan itu adalah kali kedua, selepas pilihan raya pada 2005.

Antara calon yang bertanding pada pemilihan kali ini termasuk reformis, Masoud Pezeshkian, 69, yang bakal berhadapan golongan konservatif yang kini didominasi Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf dan bekas perunding, nuklear, Saeed Jalili bagi merebut mandat daripada hampir 61 juta pengundi.

Turut bersaing bagi jawatan itu ialah agamawan, Mostafa Pourmohammadi selepas dua ultra-konservatif, masing-masing Datuk Bandar Tehran, Alireza Zakani dan bekas Naib Presiden Iran, Amir-Hossein Ghazizadeh Hashemi, menarik diri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button