LUAR NEGARA

Ahmadinejad dilapor selamat selepas dakwaan cubaan bunuh

TEHRAN – Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dilaporkan selamat selepas timbul dakwaan beliau turut menjadi sasaran ketika serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, Sabtu lalu.

Laporan Iran International yang memetik sumber berkata, Ahmadinejad tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat bagi tujuan keselamatan.

Pada hujung minggu lalu, ketika serangan oleh tentera Amerika Syarikat dan Israel dilakukan, beberapa media Iran menyiarkan laporan yang bercanggah mengenai nasib bekas presiden itu.

Ada laporan mendakwa beliau terbunuh, manakala sebahagian lagi menyatakan dakwaan tersebut tidak dapat disahkan.

Seorang pembantu rapat kepada Ahmadinejad turut memaklumkan kepada agensi berita Anadolu bahawa beliau terselamat dalam serangan yang menyasarkan kepimpinan tertinggi serta infrastruktur ketenteraan Iran.

“Saya telah berhubung dengannya dan semuanya dalam keadaan baik. Bangunan yang digunakan oleh pasukan keselamatannya telah diserang semalaman.

“Tiga pengawal peribadinya yang juga anggota Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) terbunuh dalam serangan tersebut.

“Kediaman beliau sendiri tidak terjejas walaupun terletak kira-kira 100 meter dari bangunan yang disasarkan,” kata sumber itu.

Terdahulu, beberapa laporan tidak rasmi mendakwa Ahmadinejad yang pernah memimpin Iran dari 2005 hingga 2013 terbunuh dalam serangan udara Israel-AS, Sabtu lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button