Kes misdiagnosis: KKM ambil serius, pastikan proses sedia ada ditambah baik
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah proaktif dalam menangani isu berkaitan ketidaktepatan mendiagnosis penyakit di unit-unit kecemasan hospital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mengamalkan prinsip tatakelola klinikal untuk memastikan proses sedia ada sentiasa ditambah baik bagi meningkatkan natijah pesakit (patient outcome).
Katanya, antara langkah yang telah dilakukan KKM bagi menangani isu tersebut adalah dengan mengadakan latihan berterusan yang diselia oleh pakar-pakar perubatan berpengalaman.
“Selain itu, KKM turut mengusahakan komunikasi yang berkesan antara petugas perubatan dengan pesakit di samping memastikan pemerkasaan proses secara berterusan dilaksanakan.
“Pemerkasaan tersebut dilaksanakan antaranya dengan mengemaskini garis panduan amalan klinikal (clinical practice guideline),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (PH – Tuaran) berhubung langkah-langkah yang diambil KKM dalam mengatasi ketidaktepatan mendiagnosis penyakit bagi para pesakit di unit-unit kecemasan di hospital.
Beliau menekankan bahawa tatakelola adalah suatu proses berterusan yang memerlukan kerjasama semua dan tatakelola klinikal tidak terkecuali.
Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif lain dilakukan termasuk pengemaskinian Malaysia Triage Scale 2022 yang membolehkan proses protokol saringan (triaj) dibuat secara lebih selamat, tepat dan mengelakkan tafsiran subjektif.
Sehubungan itu, pihaknya turut mengadakan pemantauan KPI under-triage di semua jabatan Kecemasan dan Trauma dengan memastikan ia sentiasa berada di bawah 0.5 peratus.
Under-triage adalah keadaan di mana pesakit yang sepatutnya diklasifikasikan sebagai kritikal telah diklasifikasikan sebaliknya semasa proses triaj.
“Berkat dedikasi warga KKM kepada tatakelola klinikal, prestasi keseluruhan KKM pada tahun 2014 adalah 0.14 peratus, namun telah bertambah baik kepada 0.03 peratus pada tahun 2023,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








