Hiburan

Penyanyi Azharina disahkan hidap kanser

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang terkenal dengan lagu Elergi Sepi, Azharina Azhar, 39, disahkan menghidap kanser, namun masih belum dapat berkongsi jenis kanser dihidapi.

Menurut laporan BH Online, Azharina berkata, dia sedang menunggu keputusan laporan kesihatannya yang berkemungkinan keluar dalam tempoh dua minggu lagi.

“Saya disahkan menghidap kanser, namun masih menunggu keputusan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Saya perlu menjalani dua pembedahan. Sepatutnya pembedahan pertama pada minggu hadapan, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ada beberapa kerja yang belum selesai.

“Pembedahan ini terpaksa dilakukan atas nasihat doktor akibat masalah kesihatan kerana saya suka makan.

“Saya kena ubah cara makan, ramai artis yang buat bariatrik dan ia memang membantu mereka,” katanya kepada BH Online

Terdahulu dia menghadiri majlis pelancaran single berjudul Realiti berduet bersama Kozae.

Tambah Azharina, salah satu sebab memilih menangguhkan pembedahannya kerana memerlukan masa untuk sembuh.

Katanya, kedua-dua pembedahan itu memerlukan masa untuk sembuh. Justeru, dia memerlukan masa yang cukup untuk membuat persediaan dan mencari pekerja yang boleh dipercayai untuk menguruskan perniagaannya.

Dalam pada itu Azharina mendedahkan, dia juga menghidap penyakit kencing manis sejak dua tahun lalu.

Katanya, dua penyakit dihidapi mengganggu emosi dan aktiviti harian, namun memilih untuk berfikiran positif.

“Saya juga manusia biasa. Bila sakit tentulah saya akan menangis. Biasanya, saya akan dengar lagu-lagu galau untuk redakan perasaan.

“Saya kena tempuh ujian ini walaupun perit dan menyakitkan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button