Berita Semasa

Pertandingan memancing Putrajaya tawar hadiah RM20,000

PUTRAJAYA – Sebanyak RM20,000 akan ditawarkan kepada pemenang pertandingan memancing yang akan diadakan pada Hari Terbuka Putrajaya Sabtu ini.

Pertandingan memancing berkonsepkan tangkap dan lepas yang diadakan di kawasan persisiran tasik Presint 2, 3 dan 4 itu turut turut menawarkan hadiah wang tunai sehingga tempat ke-100.

Selain wang tunai, turut ditawarkan 60 hadiah cabutan bertuah terdiri daripada pelbagai barangan alatan memancing, voucher penginapan di Glamping Putrajaya, voucher aktiviti rekreasi dan memancing secara benih ikan.

Terdahulu, 52 ekor ikan induk air tawar telah dilepaskan ke dalam tasik Putrajaya dalam Majlis Pelepasan Ikan Pertandingan Memancing Putrajaya yang disempurnakan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud, di sini, hari ini.

Ikan-ikan tersebut terdiri daripada spesies Kelah, Temoleh, Krai, Lampam Sungai, Tapah, Umbut-umbut dan Terbol yang bersaiz satu hingga enam kilogram (kg).

Pelepasan ikan tersebut merupakan hasil kerjasama antara Perbadanan Putrajaya dengan Jabatan Perikanan Malaysia yang telah mendapatkan bekalan ikan dari Pusat Pengembangan Akuakultur, Perlok, Pahang, dengan nilai RM7,000.

Yang hadir sama,Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain dan Naib Presiden Perancangan Bandar, Perbadanan Putrajaya, Shamsul Bahrin Rahmat.

Untuk rekod, kerjasama teknikal antara Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Perikanan Malaysia bagi aspek Pengurusan Ikan telah bermula sejak tahun 2006.

Sehingga kini, Jabatan Perikanan telah menyumbang lebih 170,000 ekor benih ikan pelbagai spesies, seperti Kelah, Temoleh, Jelawat, Baung, Kerai Lampam, Tengas dan Lampam Jawa. Bilangan ini.., adalah termasuk 8000 ekor udang galah yang dilepaskan pada Disember 2018.

Show More

Related Articles

Back to top button