Kes tikam isteri, polis selesai rakam percakapan 12 individu
BATU GAJAH – Pihak polis sudah merakam percakapan 12 individu bagi membantu siasatan kes wanita yang maut akibat ditikam suaminya dalam kejadian di bilik sebuah hotel dekat pusat bandar Batu Gajah, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, antara dipanggil bagi membantu siasatan termasuk ibu mangsa yang berusia 56 tahun, selain beberapa individu lain dalam kalangan ahli keluarga mangsa.
Tambahnya, kes disasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tidak menolak kemungkinan tempoh reman suspek berusia 37 tahun itu yang sepatutnya berakhir Khamis ini, akan disambung lagi.
“Keterangan mereka sudah diambil dan buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan.
“Tempoh reman suspek mungkin akan disambung bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan. Sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita akan serah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan,” katanya, hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan mangsa, Nisya Syahkila Shaharun, 32, maut akibat dibunuh suaminya dengan mayatnya ditemukan dengan beberapa kesan tikaman dalam sebuah bilik hotel di Jalan Pejabat Pos, dekat sini.
Motif pembunuhan itu dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan perceraian secara fasakh walaupun sudah dipujuk suspek.
Suspek kemudiannya bertindak menyerah diri di Balai Polis Batu Gajah selepas melakukan jenayah itu.