Berita Semasa

6 orang termasuk seorang pelancong Itali cedera bas ekspres jatuh gaung

LAHAD DATU – Enam orang cedera selepas sebuah bas ekspres hilang kawalan dan jatuh ke dalam gaung  sedalam 50 meter di Batu 9 Jalan Silam di sini semalam.

Mangsa cedera merupakan empat penumpang termasuklah seorang pelancong Itali, pemandu dan kelindan bas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, seramai 19 mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut dengan membabitkan 16 penumpang termasuk dua pelancong wanita dari Itali dan tiga kru bas ekspres iaitu dua pemandu dan seorang kelindan bas.

Katanya, bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Kota Kinabalu.

“Sebaik pihak bomba tiba di lokasi kejadian, didapati 13 mangsa dalam bas berkenaan telah keluar.

“Enam mangsa cedera telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans dan jentera EMRS bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Turut serta dalam operasi menyelamat mangsa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi ditamatkan 11.30 malam.

Show More

Related Articles

Back to top button