Kes kehilangan RM24.2 juta dari akaun simpanan tetap, polis tahan 13 individu
KUALA LUMPUR – Pihak polis sudah menahan 13 individu yang disyaki terlibat dalam kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta, setakat semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu termasuk penahanan terbaru membabitkan lima individu bagi membantu siasatan.
Katanya, lima suspek terbaru dalam kes itu ditahan di Sabah terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.
Beliau berkata, 13 suspek keseluruhan yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita berusia antara 22 sehingga 53 tahun.
“Daripada jumlah itu, 12 orang ditahan di Sabah dan seorang ditahan di Perlis. Empat daripada mereka yang ditahan pula adalah kakitangan bank,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, 11 suspek direman sehingga Jumaat ini dan seorang lagi suspek direman sehingga esok, manakala seorang lagi suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
Terdahulu, media melaporkan penahanan seorang lelaki yang dipercayai dalang sindiket yang mengeluarkan wang tunai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan tetap.
Suspek berusia 40-an itu ditahan di Sabah, Jumaat lalu selepas polis menahan seorang bekas pengurus bank wanita sehari sebelum itu.
Semua tangkapan dibuat susulan empat laporan polis yang diterima polis di daerah Petaling Jaya, dekat sini, awal bulan ini, berhubung kehilangan wang berkenaan.
Pengadu memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah membabitkan beberapa akaun simpanan tetap di bank terbabit berjumlah RM24.2 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







