PMX

Penyasaran pemberian subsidi mampu tingkat pendapatan negara – PM

KUALA LANGAT – Penyasaran semula pemberian subsidi bagi pelbagai perkhidmatan dan barangan dijangka mampu dapat menjimatkan perbelanjaan negara dalam jumlah besar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Perdana Menteri, langkah kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar bukan bermakna semua subsidi ditarik balik, sebaliknya penyaluran bantuan akan diagih kepada golongan sasar khusunya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Subsidi ini memang bagus diberi, tetapi perlu disalurkan kepada golongan susah, bukannya orang kaya atau warga asing yang tidak membayar cukai kepada negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam majlis yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan, memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM200 juta bagi bidang TVET.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dengan pelaksanaan subsidi bersasar, ia akan dapat membantu dalam meningkatkan mutu TVET di negara ini.

“Bila kita selamatkan (pemberian subsidi), percayalah ini untuk TVET, kita laksanakan itu berkesan, peruntukan TVET akan ditambah.

“Ia bukan untuk naik gaji menteri atau beri projek kepada keluarga menteri, tidak. Gaji menteri masih dipotong 20 peratus, manakala Perdana Menteri masih tak ambil gaji.

“Saya umumkan dasar penyasaran subsidi kerana dalam masa terdekat kita akan umumkan penyasaran subsidi diesel. Jadi, biar jelas dan terangkan kepada ibu bapa, jimat belanja, hasil bertambah, program TVET kita kembangkan,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, menerusi penyasaran subsidi diesel, kemudahan itu masih akan dinikmati pelbagai pihak, termasuk golongan petani, nelayan, pengendali bas sekolah dan teksi.

Jelas beliau, individu atau pihak berkenaan boleh menghantar surat kepada kementerian berkaitan sekiranya jumlah penyasaran subsidi diterima mereka tidak mencukupi untuk menampung kos operasi masing-masing.

“Kita hentikan pemberian subsidi diesel kepada syarikat besar, pihak yang curi diesel untuk kapal nelayan asing mahupun aktiviti penyeludupan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button