Berita Semasa

Jurutera hilang lebih 2 minggu ditemukan mati dalam kereta

JOHOR BAHRU – Seorang jurutera yang dilaporkan hilang sejak lebih dua minggu ditemukan meninggal dunia dalam keretanya di Taman Sentosa di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mayat Muhammad Hamizan, 33, ditemukan pada jam 11 pagi dalam kereta yang diparkir depan sebuah premis perniagaan.

Beliau berkata, dia dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia dan mayat sudah mula membusuk di tempat duduk pemandu.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kejadian ini tidak melibatkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.

Menurut Raub, keluarga mangsa membuat laporan polis berkenaan kehilangan mangsa pada 19 Mei lalu di Kota Tinggi.

Pada 29 Mei lalu, abang mangsa, Muhammad Haziq Ramli, 34, merayu bantuan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat kehilangan adiknya itu.

Muhammad Haziq berkata, adiknya yang bekerja sebagai jurutera tapak di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang, kali terakhir dilihat oleh rakan kerja pada petang 18 Mei lalu.

Katanya, Muhammad Hamizan kemudian gagal dihubungi sehingga kini dan difahamkan adiknya itu tidak pergi bekerja dari 19 hingga 22 Mei.

Show More

Related Articles

Back to top button