BERITA SEMASA

Misteri kehilangan wartawan Pakistan, Isteri minta bantuan PM

KUALA LUMPUR – Seorang pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) warga Pakistan telah dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu.

Menurut Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Morthy, orang hilang berkenaan bernama Syed Fawad Ali yang merupakan wartawan penyiasat dikehendaki oleh pihak berkuasa Pakistan.

Katanya, Syed Fawad telah menerbitkan artikel-artikel berhubung kes korupsi dan orang hilang di Pakistan. Oleh sebab itu, dia telah ‘diculik’ oleh pihak berkuasa Pakistan yang didakwa telah berkerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kami percaya Jabatan Imigresen Malaysia telah berkerjasama dengan pasukan Inter-Services Intelligence (ISI) Pakistan dalam menangkap Syed Fawad.

“Dia telah melarikan diri dari Pakistan pada tahun 2011 dan masuk ke Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam satu sidang media di Menara Sentral Vista di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, isteri kepada Syed Fawad, Syeda, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya adalah pada malam 23 Ogos lalu dan laporan polis sudahpun dibuat Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields.

“Saya telah menghubungi pegawai penyiasat bagi kes ini dan mereka telah menyuruh saya untuk pergi ke Jabatan Imigresen di Putrajaya kerana polis tidak mempunyai kuasa dalam kes ini.

“Hal ini telah menyebabkan saya keguguran kandungan saya kerana rasa takut yang teramat dan tekanan darah saya naik mendadak.

“Sewaktu saya di pejabat imigresen  pegawai di situ berkata suami saya sudahpun dipindahkan ke Pakistan, namun tiada data terperinci yang direkodkan di dalam sistem Jabatan Imigresen mengenai keberadaab suami saya,” ujarnya lagi.

Tambah Syeda lagi, dia juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam menyelesaikan isu ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button