Berita Semasa

Pyanhabib seniman yang disayangi dan disegani – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga penyair dan pelakon Mohd Supyan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib, yang meninggal dunia malam tadi.

Fahmi berkata, Pyanhabib adalah seorang penyajak, penulis, pelakon serta seniman yang amat disayangi dan disegani.

“Di awal perjalanan saya sebagai seorang penggiat seni, saya sering nantikan persembahan bacaan sajak oleh Allahyarham.

“Kali terakhir kami bekerjasama ialah ketika melakukan kameo dalam video Malaysia Madani nyanyian Bunkface tahun lalu,” katanya di aplikasi X hari ini.

Tambah Fahmi, pemergian Pyanhabib akan diratapi oleh seniman tanah air.

“Tenanglah dikau di negeri abadi. Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.

Show More

Related Articles

Back to top button