Mbappe berhijrah ke Real Madrid, teruja beraksi dalam kelab impiannya
MADRID – Impian menjadi kenyataan apabila Kylian Mbappe menandatangani kontrak lima tahun untuk berpindah dari Paris Saint-Germain (PSG) ke Real Madrid awal pagi tadi.
Real Madrid melalui laman sesawang berkata, kemasukan Mbappe akan mengukuhkan skuad mereka dengan aksi seorang pemain bertaraf superstar dunia.
“Real bersetuju dengan pemain itu untuk berada di Real Madrid bagi lima musim berikutnya,” katanya lagi.
Pengumuman itu adalah kemuncak percubaan lama Real untuk mendapatkan khidmat seorang daripada penyerang paling prolifik di dunia.
Mbappe berkata, beliau terlalu gembira dan bangga untuk menyertai kelab impiannya.
“Tiada siapa akan faham betapa terujanya saya ketika ini.
“Tidak sabar untuk bertemu anda, Madridistas dan terima kasih kerana sokongan luar biasa anda,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Real kali pertama memujuk Mbappe pada 2012 apabila mereka menjemput pemain berusia 13 tahun ketika itu untuk menghabiskan seminggu bersama mereka.
Ketika kunjungan itu dia bergambar dengan idolanya Cristiano Ronaldo.
Awal pagi tadi, Ronaldo, yang kini beraksi di Arab Saudi, memberi komen di hantaran Instagram Mbappe, menunjukkan pemain remaja itu lencana kelab di jersi Real.
“Giliran saya” untuk melihat anda pula, teruja untuk melihat anda menyinari Bernabeu.” katanya lagi.
Mbappe bersetuju untuk berpindah ke Real pada Februari lalu dan mengumumkan pada Mei dia akan meninggalkan PSG pada hujung musim lalu.
Real, masih segar daripada kejayaan memenangi Liga Juara-Juara kali ke-15 Sabtu lalu selepas menang 2-0 ke atas Borussia Dortmund, kemudian mengesahkan perjanjian itu awal pagi tadi sebelum Mbappe terbabit dengan aksi persahabatan menjelang Euro 2024 bersama Perancis