Berita Semasa

46 orang hilang tempat tinggal, 14 pintu rumah panjang terbakar

BARAM – Satu kebakaran besar memusnahkan 14 pintu rumah panjang di Kampung Long Bangan Apoh, di sini awal pagi semalam.

Dalam kebakaran itu seramai 46 orang hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi semalam namun hanya tiba di lokasi pada pukul 3.04 petang disebabkan jarak yang jauh iaitu 248 kilometer.

“Perjalanan ke lokasi agak sukar kerana jauh, menggunakan jalan balak, ada jalan yang licin kerana hujan, ada jalan berdebu dan jarak penglihatan agak dekat serta tiada liputan telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi berpunca dari pintu rumah nombor 66, yang turut memusnahkan sebuah pikap dan motosikal.

Maureen berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati kebakaran telah dipadam sepenuhnya oleh penduduk kampung.

Beliau menambah jumlah keseluruhan rumah yang ada di kampung Long Bangan adalah 102 pintu dan yang terbakar adalah 14 pintu sahaja, dengan kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Show More

Related Articles

Back to top button