Berita Semasa

Berhenti sekolah, kemalangan antara punca 1,724 calon SPM di Selangor tidak hadir peperiksaan

SHAH ALAM – Berhenti sekolah dan kemalangan merupakan salah satu punca 1,724 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Selangor tidak hadir menduduki peperiksaan.

Sebagai rekod, seramai 72,293 calon di Selangor telah mendaftar bagi peperiksaan tersebut secara keseluruhan.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Selangor, Dr. Jafri Abu berkata, jumlah tidak hadir itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas di mana seramai 2,387 calon tidak hadir.

“Kita telah banyak melakukan intervensi berkaitan ketidakhadiran calon ini dan sentiasa memberikan perhatian supaya calon-calon mendaftar dapat hadir peperiksaan SPM.

“Bagaimanapun, kita dapat ada juga calon-calon tidak hadir disebabkan berhenti sekolah, kemalangan, telah meninggal dunia, sakit, dalam tahanan polis dan paling banyak adalah tidak dapat dikesan,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2023 Selangor hari ini.

Jelas beliau, pihaknya sebelum ini telah meningkatkan intervensi dengan memberikan taklimat dan motivasi sebelum peperiksaan selain menghubungi ibu bapa atau penjaga kepada calon-calon berkenaan.

Katanya, bantuan kepada calon yang mempunyai masalah menghadiri peperiksaan itu menjadi keutamaan pihaknya.

“Sebab itu, nasihat kita sekiranya bermasalah hadir agar menduduki pusat peperiksaan yang paling dekat dengan rumah mereka.

“Kita sentiasa membuat semakan kehadiran iaitu 30 minit sebelum peperiksaan bermula namun masih berlaku kepada calon yang gagal dikesan disebabkan telah lama tidak hadir ke sekolah,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button