Automatif & TeknologiBerita Semasa

Gandar patah : JPJ pantau pemanggilan balik 600 kenderaan oleh Chery Malaysia

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memastikan Syarikat Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. melaksanakan proses memanggil balik 600 unit Omoda 5 secara telus susulan insiden kegagalan struktur gandar pada model kenderaan itu.

JPJ berkata, arahan pelaksanaan yang berkuatkuasa hari ini itu melibatkan unit kenderaan yang disyaki terlibat dalam isu yang sama.

“Susulan insiden tular berkenaan kegagalan gandar kenderaan model Omoda 5 buatan Chery, JPJ telah memanggil Syarikat Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. bagi menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu.

“Pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak syarikat bagi menempah slot pemeriksaan masing-masing atau pemilik kenderaan boleh ‘walk-in’ ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara,” kata JPJ dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan itu katanya demi memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya yang lain terjamin.

JPJ menjelaskan, kos bagi sebarang pertukaran melibatkan komponen harus ditanggung oleh pihak Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd.

“JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula itu dan komited memastikan kesemua unit terlibat dibuat pemeriksaan dan disahkan selamat serta proses penggantian komponen gandar dilaksanakan bagi kenderaan terkesan.

“Semua pemilik kenderaan model Omoda 5 dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula atau pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula itu boleh dibuat dengan menghubungi Chery Malaysia Customer Careline di talian 03-2771 7070.

Pelanggan juga boleh melayari laman sesawang www.chery.my atau menghubungi pusat jualan dan perkhidmatan Chery Auto Malaysia yang berdekatan.

Show More

Related Articles

Back to top button