Berita SemasaPM X

Isu kemiskinan tegar di Kelantan dijangka dapat dinoktahkan dalam masa hanya dua bulan

Kementerian terkait, kerajaan negeri perlu selaraskan gerak kerja

KOTA BHARU – Isu kemiskinan tegar di Kelantan dijangka dapat dinoktahkan dalam masa hanya dua bulan sekiranya kementerian terkait dan kerajaan negeri dapat menyelaraskan gerak kerja dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aspek penyelarasan dan kordinasi adalah taakul utama yang perlu diambilkira dalam menyelesaikan isu rakyat yang mendesak termasuk di Kelantan.

“Perkara itu saya bangkitkan sewaktu menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan, yang buat kali pertamanya saya pengerusikan dalam membincangkan penyelesaian isu-isu pembangunan di negeri Kelantan seraya diapit kepimpinan Kerajaan Pusat dan juga Kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Sementelahan, isu rakyat seperti kemiskinan tegar, pembangunan infra dan kemudahan asas adalah tekad komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk diselesaikan, sebolehnya dengan kadar segera agar tidak terus membelenggu pihak terkesan,” kata Anwar dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.

Perdana Menteri menambah, beliau berharap semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi dapat perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Kelantan ini secara berkesan.

“Insya Allah, projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya warga Kelantan di kawasan luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.

Hadir sama dalam lawatan kerja Perdana Menteri ke Kelantan adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Show More

Related Articles

Back to top button