Tidak wajar jadikan kenaikan gaji penjawat awam topik perdebatan umum
HULU SELANGOR – Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan semalam tidak wajar dijadikan topik perdebatan umum.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersebut merupakan tanda penghargaan kerajaan kepada sumbangan penjawat awam selaku petugas barisan hadapan kepada kerajaan.
“Jika mahu ekonomi negara rancak supaya (kerajaan) boleh mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik, maka kita perlukan penjawat awam yang memiliki produktiviti dan kecekapan yang lebih tinggi.
“Melalui penghayatan dan penghargaan diberi kepada penjawat awam, saya yakin ia akan memberi motivasi untuk mereka terus melaksanakan tugas serta bersama-sama membangunkan ekonomi negara,” katanya.
Steven berkata demikian ketika ditemui pada program Suara Anak MADANI yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Setiausaha Organisasi DAP tersebut turut berkata, kerajaan menghargai semua golongan pekerja daripada pelbagai sektor dan dasar Gaji Progresif sebagai bukti komitmen untuk menaikkan kadar upah minimum kakitangan swasta.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini, sekali gus muncul antara kenaikan tertinggi diumumkan.
Kata Perdana Menteri, ia adalah antara usaha mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi dengan kenaikan membabitkan gaji pokok dan bukannya elaun, selain perincian akan dibincang pada mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.
Sementara itu, Steven berkata tahun lalu negara mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM329.5 billion, hasil dukungan penjawat awam bagi merealisasikan kejayaan berkenaan.
“Dengan adanya pelaburan ini baru ekonomi kita berkembang, seterusnya akan ada peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik. Jadi dia ada hubungan simbiosis ataupun hubungan kerjasama, ia bukan satu persaingan,” katanya lagi.