Konsep Sekolah Menegak, Kota MADANI ringan beban penjawat awam
PUTRAJAYA – Projek perumahan baharu Kota MADANI di Presint 19 bukan sekadar menampung kekurangan kira-kira 12,000 unit kuarters penjawat awam malah membawa pendekatan baharu yang memberi manfaat jangka panjang dari sudut penjimatan kos sara hidup dan kesejahteraan keluarga.
Fasa pertama pembangunan itu melibatkan pembinaan 3,000 unit kediaman, sebahagian daripada keseluruhan 10,000 unit yang dirancang di kawasan tersebut.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pendekatan Kota MADANI yang menampilkan rekaan mesra penjawat awam termasuk konsep vertical school dan kemudahan dalam lingkungan berjalan kaki yang merupakan anjakan paradigma dalam perancangan kuarters kerajaan.
“Bila sekolah, tadika, klinik dan kedai runcit berada dalam satu kawasan bersepadu, penjawat awam tidak perlu lagi bergantung kepada kenderaan atau berdepan kesesakan jalan raya.
“Ini bukan sahaja menjimatkan wang, malah masa dan tenaga,” katanya selepas majlis pelancaran projek tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Tambah beliau, konsep vertical school yang diperkenalkan iaitu sekolah berkonsep bangunan bertingkat yang berada dalam kawasan perumahan memberi dimensi baharu kepada kehidupan keluarga bandar.
“Malah, suasana lebih tenteram, anak-anak berada di tingkat bawah, ibu bapa di tingkat atas,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen menyediakan perumahan mampan buat penjawat awam.
“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi menjadi asas kepada peningkatan kualiti hidup, produktiviti dan semangat kerja warga perkhidmatan awam,” katanya lagi.
Beliau yakin pendekatan bersepadu itu bukan sahaja akan memperkukuh aspek kebajikan keluarga penjawat awam, tetapi turut menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan awam negara secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








