Jenayah & Mahkamah

Chegubard direman dua hari – PDRM

KUALA LUMPUR – Aktivis Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berkaitan hantaran mengenai pengoperasian kasino di Forest City.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap Che’gubard, semalam.

“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dimohon dan dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Lumpur selama dua hari ini hingga esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Bukit Aman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya lagi.

Oleh kerana kes ini masih di dalam proses siasatan, Mohd Shuhaily menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Malam tadi, Peguambela dan peguamcara, Rafique Rashid dilaporkan berkata, Chegubard kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Tangkapan itu dikaitkan dengan satu hantaran di akaun Facebook beliau berkaitan dengan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.

Dalam hantaran itu, CheguBard menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hab kewangan yang akan dibina di Forest City.

Show More

Related Articles

Back to top button