PM umum duit raya RM500 untuk penjawat awam Gred 56 ke bawah
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
“Jadi hari ini, bersamaan 21 Ramadan 1445, saya umumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
“Sebanyak RM250 BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, insya-Allah saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri di sini hari ini.