Padang SBNJ siap sedia perlawanan antara Malaysia, Oman malam ini – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) telah sedia bagi perlawanan pusingan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman.
Di sebalik kritikan peminat mengenai keadaan padang stadium tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, stadium tersebut telah mendapat kelulusan komisioner perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Padang SNBJ telah mendapat kelulusan untuk perlawanan.
“Penyokong Harimau Malaya digesa turun ke SNBJ untuk berikan sokongan paling padu,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya semalam.
Dalam pada itu menyentuh mengenai latihan terakhir pasukan Malaysia dan Oman di lokasi lain, bukan di SBNJ, katanya, ia disebabkan keadaan cuaca semalam.
“Komisioner perlawanan FIFA tidak benarkan pasukan Malaysia dan Oman berlatih di SNBJ kerana hujan pada waktu petang kebelakangan ini,” katanya.
Semalam pasukan Harimau Malaya terpaksa berlatih di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala manakala Oman pula di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).
Semalam ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy dalam sidang media praperlawanan, memaklumkan bahawa pihaknya sudah sedia maklum mengenai keadaan padang Stadium Nasional yang kurang baik.
Beliau berkata, malangnya pihaknya dimaklumkan dengan cuaca di Malaysia yang kerap hujan dan mungkin padang tidak bersedia dengan baik.