Berita Semasa

Ismail Sabri ziarah bekas Pengarang Berita Mingguan Malaysia

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Faridah Hitam, 71 tahun yang baru kehilangan suaminya pada 11 Mac lalu.

Dalam kunjungan di rumahnya di Petaling Jaya semalam, beliau meluangkan masa lebih sejam bertanya khabar akan keadaan Faridah yang kehilangan suami tercinta, Hassan Abdul Wahab, 81 tahun.

“Saya mengenali beliau (Faridah) sejak mula menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004. Beliau banyak membantu saya menyampaikan maklumat dan membantu saya membina karier sebagai ahli politik.

“Ziarah ini sebagai tanda kasih saya kepada beliau dan pengamal media yang lain atas jasa mereka membantu negara,” katanya.

Berikutan itu, beliau bercadang untuk menziarahi beberapa orang pengamal media lain yang uzur dan sedang menghadapi ujian getir kehidupan.

Faridah berkhidmat lebih 30 tahun di akhbar terulung Utusan Malaysia bermula tahun 1977 hingga 2008 dan pernah menerajui akhbar hujung minggu paling laris jualannya iaitu Mingguan Malaysia pada Januari 2000 sebagai pengarang selama tiga tahun, dengan jumlah edaran yang pernah dicatat sebanyak lebih 700,000 naskah.

Dalam pada itu, Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dilancarkan Ismail Sabri pada tahun lalu akan diteruskan pada Ramadan kali ini dengan inisiatif baharu iaitu membantu bekas pengamal media kini yang sedang menghadapi ujian getir kehidupan.

Sebelum ini, Program Kongsi Rezeki Ramadan 2023 telah berjaya mengagihkan sebanyak 3,000 pek juadah berbuka puasa, yang mana 500 daripadanya diperuntukkan kepada petugas keselamatan berpendapatan rendah.

Show More

Related Articles

Back to top button