BERITA SEMASA

Fahmi Fadzil rasmi Jelajah Ramadan 2026, 30 lokasi jadi tumpuan

JOHOR BAHRU – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, hari ini melancarkan program Jelajah Ramadan 2026 sempena lawatan kerja beliau ke Johor.

Beliau memulakan lawatan pada pukul 9 pagi dengan merasmikan Jelajah Ramadan 2026 Edisi Ke-14 di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, di sini.

Dalam kenyataan di Facebook, Fahmi merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) atas penganjuran program berkenaan yang memasuki edisi ke-14 tahun ini.

“Syabas dan tahniah kepada RTM atas pelancaran Jelajah Ramadan 2026 edisi ke-14. Program ini bukan sahaja mendekatkan RTM dengan masyarakat, malah menjadi platform menyebarkan mesej perpaduan dan nilai murni sepanjang Ramadan,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang 20 hari bermula hari ini hingga 8 Mac, konvoi membabitkan 15 kenderaan bersama 40 kru, juruhebah dan selebriti akan menjelajah 30 lokasi di seluruh negara.

Bertemakan “Satu Suara, Satu Jiwa”, Fahmi berkata, jelajah kali ini menyatukan 34 stesen radio RTM dalam usaha menyebarkan mesej kebaikan dan mengeratkan silaturahim, selari dengan semangat Malaysia MADANI.

Dalam pada itu, menerusi lawatan kerja berkenaan, Fahmi Fadzil turut meluangkan masa mendekati komuniti setempat di samping menyantuni bekas pengamal media melalui penyampaian sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.

Selepas itu, Fahmi dijadual menghadiri program Hari Bersama Komuniti pada pukul 10.30 pagi di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Desa Belantik, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang.

Pada sebelah petang, beliau akan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas jurukamera TV3, Idrus Rahmat di Kampung Skudai Kiri serta bekas wartawan Nanyang Siang Pau, Low Sock Ken di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Lawatan berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan kementerian dengan komuniti setempat di samping menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media, khususnya menjelang Ramadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button