
Ahli Dewan Negara mohon sekolah agama harian, sekolah sukan dibina di Putrajaya
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya hari ini membangkitkan keperluan membina sekolah khusus di Putrajaya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat tiap tahun.
Antara dibangkitkan adalah mengenai keperluan sekolah agama harian bagi pelajar aliran agama Islam.
Beliau berkata, buat masa ini Putrajaya hanya mempunyai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMKAPUTRA) yang terletak di Presint 11.
“(Bagaimanapun) Sekolah ini hanya mampu mengambil 100 orang pelajar pada setiap tahun.
“Permintaan yang diterima untuk memasuki sekolah jenis aliran ini adalah sebanyak 1000 hingga 1200 orang setiap tahun,” kata Mohd Hisamudin.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Negara hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, beliau mencadangkan supaya sekolah agama harian berkenaan dapat dibina di Presint 19, dan menggunakan konsep yang sama seperti Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL).
Beliau turut membangkitkan keperluan adanya sebuah sekolah sukan di Putrajaya, kerana buat masa ini, anak-anak Putrajaya yang berbakat dalam sukan semuanya di sekolah-sekolah sukan di negeri lain, seperti di Selangor dan Negeri Sembilan.
“Oleh itu, saya memohon supaya pihak Kerajaan dapat membina sebuah sekolah sukan yang boleh menempatkan 500 orang atlet pada satu masa di Putrajaya,” katanya lagi.
Seterusnya, Mohd Hisamudin turutmembangkitkan keperluan sebuah kolej khusus bagi pelajar Tungkatan Enam.
“Buat masa ini, pelajar Tingkatan Enam Putrajaya masih menumpang di SMK 5(1).
“Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan boleh membina sebuah kolej Tingkatan Enam di Presint 5 demi kebaikan semua pelajar Putrajaya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








