Automatif & Teknologi

BYD Seal pemain terbaharu EV di Malaysia

OLEH : MOHD HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR – Perlumbaan kereta elektrik sepenuhnya (EV) di negara ini semakin memuncak dengan kehadiran model sedan elektrik terbaharu, BYD Seal yang dilancarkan hari ini.

BYD Seal merupakan model EV ketiga yang dilancarkan di Malaysia dari pengeluar kenderaan elektrik yang beribu pejabat di Shenzhen, China selepas Atto 3 dan Dolphin dan dipasarkan oleh Sime Darby Beyond Auto Sdn. Bhd. sebuah subsidari Sime Darby Motors Sdn. Bhd.

Majlis pelancaran BYD Seal disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis pelancaran BYD Seal oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Lumpur hari ini.

BYD yang terkenal dengan harga yang kompetitif dan menarik berbanding kenderaan EV yang ada di pasaran Malaysia ditawarkan pada harga bermula RM179,800 sehingga RM199,800 bagi Semenanjung.

Didatangkan dengan dua varian Premium dan Performance, BYD Seal yang merupakan kenderaan EV siri Ocean BYD menawarkan pengecas rumah percuma kepada 800 tempahan awal di semua pusat jualan BYD seluruh negara bermula hari ini selain kredit pengecasan Gentari bernilai RM800.

Teras BYD SEAL ialah inovatif canggih, e-platform 3.0 yang menjadikannya pelopor keselamatan dan prestasi.

Sedan elektrik ini merupakan model pertama yang dilengkapi teknologi inovatif sel pada badan (CTB) di mana bateri bilah (Blade Battery) 82.56 kWh yang menjadi nadi kepada BYD Seal dijadikan sebahagian daripada struktur kenderaan yang memberikan kestabilan dan keselamatan dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Selain itu ia juga dipadatkan dengan teknologi pengagihan tork bijak (Intelligent Torque Distribution Control), iTAC, di mana ia mampu memberikan jaminan keselamatan ketika pemanduan kelajuan tinggi yang bertindak mengawal keluaran tenaga terus dari sumber iaitu motor elektrik yang kemudian diagihkan terus ke keempat-empat roda.

Bercakap mengenai kelajuan, varian Performance mampu dipacu dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 3.8 saat, yang pasti dapat menyaingi kenderaan EV lain dari jenama terkenal.

Dengan harga yang kompetitif, pastinya BYD Seal mampu menjadi antara pilihan kepada peminat kenderaan elektrik lebih-lebih lagi jarak WLTP yang dijamin ialah 520 kilometer bagi varian Performance dan 570 kilometer bagi Premium.

Kedua-dua varian ini mempunyai karakter mereka tersendiri di mana Premium didatangkan dengan jarak tambahan dengan kuasa maksimum 230 kW manakala varian Performance pula dijana dengan pacuan semua roda dengan kuasa maksimum 390 kW.

Reka bentuk dalaman yang elegan dengan alat bantu navigasi dan sistem multimedia yang terkini dari BYD.

Menariknya tork yang dijana oleh varian Performance ialah 670Nm, antara yang tertinggi bagi EV manakala Premium pula menjana 360 Nm tork.

BYD Seal didatangkan dengan tiga warna menarik termasuk Cosmo Black, Atlantis Grey dan Aurora White manakala Performance mendapat tambahan warna, Artic Blue.

Sedan eletrik BYD ini jjuga diberikan jaminan selama 6 tahun atau 150,000 kilometer bagi kenderaan; 8 tahun atau 160,000 kilometer bagi bateri bilah dan 8 tahun atau 150,000 kilometer bagi unit pemanduan.

BYD Seal merupakan model EV ketiga yang dilancarkan di Malaysia dan dipasarkan oleh Sime Darby Beyond Auto Sdn. Bhd.

Show More

Related Articles

Back to top button