Berita Semasa

Isteri Taib Mahmud buat laporan dakwaan larikan suami

Beliau menjelaskan Taib tidak dilarikan kerana sudah mendapat kebenaran dari doktor pada 3 Februari

KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Raghad Kurdi Taib membuat laporan polis mengenai dakwaan beliau bertindak membawa keluar suaminya, Abdul Taib Mahmud ketika masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuching, awal bulan ini.

Raghad dalam satu kenyataan turut menafikan dakwaan bahawa beliau telah mencabut peralatan perubatan pada badan suaminya tanpa memaklumkan kepada petugas kesihatan.

Susulan itu, beliau turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching yang merawat Taib.

Beliau menjelaskan Taib tidak dilarikan seperti didakwa kerana sudah mendapat kebenaran dari Dr Tan Sian Kong pada 3 Februari untuk beliau menghadiri janji temu di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

“Saya telah membuat laporan polis untuk menolak dakwaan yang tidak berasas ini dan melindungi privasi Tun Taib dan haknya untuk memilih penjagaan perubatan.

“Semua dokumen diperlukan menurut prosedur hospital telah ditandatangani dan semua kakitangan relevan sedar akan pelepasan itu.

“Kami benar-benar bersedia untuk bekerjasama dengan polis dalam apa juga siasatan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hospital Normah jika perlu,” katanya tanpa mendedahkan bila dan di mana laporan polis itu dibuat.

Raghad menjelaskan Taib turut menikmati sokongan rawatan 24 jam di rumah meliputi penjagaan jururawat, lawatan doktor, peralatan, dan ubat sementara menunggu kemasukan ke CVS Kuala Lumpur.

Sehubuingan itu beliau juga menggesa orang ramai untuk mengabaikan laporan mengelirukan dan menghormati hak Tun Taib terhadap privasi dan mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik.

“Keluarga saya akan kekal tabah dan bersatu dalam masa-masa sukar ini. Kami memohon doa orang ramai untuk kesihatan dan kesejahteraan suami saya, Tun Taib,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button