
KPDN tumpas sindiket penyelewengan diesel subsidi di Changlun, Bukit Kayu Hitam
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM75,74500
dalam dua serbuan berasingan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam, Kedah pada minggu lalu.
KPDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, menerusi Ops Tiris 3.0, serbuan dilakukan serentak oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya pada jam 11.40 malam selepas risikan dijalankan pihak KPDN beberapa hari sebelum operasi.
“Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah mengisi minyak diesel daripada beberapa buah stesen minyak di sekitar Changlun dan Bukit Kayu Hitam dengan menggunakan lori yang telah diubahsuai sebelum dibawa ke lokasi serbuan yang merupakan stor haram sebagai tempat untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel sebelum dijual di pasaran gelap.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis di kedua-dua lokasi itu, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 13,300 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya.
Dalam pada itu, sebuah lori, beberapa buah tangki jenis Intermediate Bulk Containers (IBC) yang berisi minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.
Selain itu, sembilan lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di kedua-dua premis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.
KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu mahupun syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
Tegasnya, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
“Iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,” jelasnya.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








