Empat PATI lolos depot tahanan Imigresen berjaya ditahan
PUTRAJAYA – Empat daripada 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor, Perak malam tadi berjaya ditahan polis setakat pukul 4 petang ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua yang ditahan kini dalam proses varifikasi untuk dihantar semula ke depot tahanan.
“Setakat pukul 4 petang ini, kami dimaklumkan empat sudah ditahan dengan identiti yang masih belum dikenal pasti.
“Kesemua yang melarikan diri terdiri daripada 115 etnik Rohingya, 16 warga Myanmar dan seorang Bangladesh. Daripada jumlah itu, 57 orang dari blok pertama manakala masing-masing 37 dari blok kedua dan keempat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen di sini hari ini.
Ruslin berkata, operasi mengesan tahanan yang melarikan diri itu kini diteruskan melalui Op Tutup dengan kekuatan 387 anggota JIM dibantu oleh semua agensi keselamatan.
“Kita akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa kawasan bagi menjejaki semua mereka mereka yang lolos.
“Dalam kejadian itu, tahanan yang berpecah kepada tiga kumpulan itu melarikan diri melalui bahagian belakang depot menuju ke kawasan ladang kelapa sawit,” katanya.
Susulan kejadian itu juga, Ruslin mengesahkan salah seorang daripada suspek maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Mangsa yang maut akibat dirempuh kenderaan ketika melintas jalan adalah seorang warga Rohingya berusia 33 tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, kejadian pada pukul 9.50 malam tadi berlaku apabila kumpulan perusuh merempuh jerigi dan pagar berkawat duri.
Katanya, kejadian turut menyebabkan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di depot berkenaan cedera ringan akibat dibaling batu.
“Setakat ini kita masih menyiasat punca sebenar kejadian kerana tiada isu berbangkit sebelum di depot berkenaan sebelum ini.
“Siasatan awal juga mendapati kekacauan dicetuskan oleh kumpulan tahanan dari etnik Rohingya dan tidak melibatkan kumpulan dari PATI negara lain seperti Indonesia dan Bangladesh.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan insiden di pusat tahanan yang menempatkan 566 tahanan ini telah dirancang,” katanya.
Sehubungan itu, Ruslin berkata, JIM akan melakukan pengasingan semula tahanan di semua 12 depot tahanan seluruh negara.
“Kita akan pastikan penempatan atau kediaman warga asing ini tidak melibatkan satu-satu negara sehingga berani bertindak agresif. Dalam kes ini kita dapati warga Rohingya sangat agresif,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








