BERSATU akan ‘paksa’ enam wakil rakyatnya yang sokong PM kosongkan kerusi
PUTRAJAYA – Parti BERSATU akan ‘memaksa’ enam wakil rakyatnya yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengosongkan kerusi mereka.
Laporan portal FMT menyebut, tindakan itu sebagai menyahut cabaran Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman supaya kepimpinan parti memecatnya bersama lima yang lain.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya akan menggunakan pelbagai cara dan kaedah bagi memastikan keenam-enam mereka mengosongkan kerusi.
“BERSATU cabar beliau (Suhaili) segera kosongkan kerusi. Kami akan gerakkan apa saja cara dan kaedah di dalam lingkup perundangan dan politik bagi memastikan kerusi Parlimen Labuan dan Parlimen lain dapat dikosongkan.
“… seperti termaktub dalam Akta Anti Lompat Parti bagi memberi laluan kepada PRK (pilihan raya kecil) dalam tempoh terdekat,” kata Afif dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain Suhaili, lima lagi Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Isnin lalu, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, BERSATU memutuskan meminda Perkara 10 Perlembagaan parti bagi menghalang insiden sama berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan kelak.
Pada 7 Nov, Suhaili yang juga ahli MPT ketika itu digantung keahlian enam tahun oleh BERSATU, seminggu selepas menyatakan sokongan kepada Anwar.